Friday 10 October 2014

DEFINISI MEMBACA


Menurut kamus dewan edisi ke empat baca telah ditakrifkan sebagai memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna dan kandungannya. Membaca adalah satu proses yang kompleks yang mana sesuatu isi atau maklumat yang bermakna disampaikan melalui lambang-lambang bertulis. Hal ini kerana proses membaca terdiri daripada gabungan beberapa proses yang kompleks antaranya ialah proses sensori, proses pengamatan, proses bahasa, dan proses kongnitif. Dimana setiap proses tersebut akan memainkan peranan yang penting dalam proses membaca secara keseluruhannya.

Selain daripada itu menurut Pumfrey (1977) berpendapat membaca bukanlah hanya setakat bersifat mekanik, iaitu membunyikan huruf-huruf yang dicetak dan menjawab beberapa soalan tentang apa yang dibaca, tetapi membaca adalah lebih jauh daripada itu. Membaca adalah satu proses pemikiran yang membina. Maksud beliau, dengan membaca, seseorang itu harus dapat membina kebolehan menilai, mengulas dan mengkritik apa yang dibaca dengan tepat, memahami kehendak situasi dan aspirasi masyarakat di sekeliling, membina sikap dan cita-cita serta fikiran yang terbuka dan positif.

Psikolinguitik kognitif menolak definisi membaca menurut fahaman teori pembelajaran lama yang mengatakan bahawa membaca adalah satu kegiatan mengenal kata-kata dengan cara membunyikannya (dalam hati) dan kemudian menarik erti daripada kata-kata itu.

Definisi ini seolah-olah mementingkan pengenalan kata yang tepat satu persatu dengan cara menyembunyikannya lebih dahulu sebelum kita dapat menarik erti sesuatu kalimat. Definisi ini mengetepikan peranan yang dimainkan oleh pembaca. Pembaca merupakan satu organisma yang pasif yang hanya menunggu kemasukan erti dari luar. Ini merupakan satu proses satu hala yang sangat bercanggah dengan keadaan sebenarnya. Proses satu hala ini ditentang oleh psikolinguistik kognitif kerana tidak mengambil kira peranan yang dimainkan oleh pembaca.