Monday 17 November 2014

TEKNIK KWLH

Definisi

Pada tahun 1986, Ogle membina carta KWLH untuk tujuan membantu merangsang pemikiran atau minda pembaca secara aktif semasa proses membaca. Model ini dikembangkan untuk membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan gaya pengetahuan murid-murid mengenai sesuatu topik. Proses membaca dengan teknik KWLH, pelajar boleh mengaitkan pengetahuan sedia ada dengan apa yang dibaca. Ini bermaksud pelajar berdasarkan pengetahuan sedia ada, mengimput pengetahuan baharu selepas proses pembacaannya.

Dalam proses pembelajaran, pengetahuan sedia ada (PSA) amat penting untuk meningkatkan keupayaan pemahaman, pengetahuan dan maklumat bahan atau teks yang dibaca. Daripada teknik ini, pelajar dapat menentukan apa yang diperoleh daripada pembacaannya dan seterusnya menentukan apakah sumber bahan yang perlu dibaca lagi.
KWLH bermaksud:
K (know) – Apa yang sudah diketahui (sebelum membaca)- catat pengetahuan sedia tentang tajuk atau topik bahan bacaan.
W (what) – Apa yang hendak diketahui (sebelum membaca) – catat apa yang ingin diketahui tentang tajuk atau topik bahan bacan.
L (learned) – Apa yang telah diketahui (selepas membaca) – catat isi penting daripada tajuk atau topik yang dibaca.
H (how) – Bagaimana untuk mendapat maklumat tambahan (untuk bacaan seterusnya) – catat bagaimana untuk mendapat maklumat 



Contoh Petikan Teks “Budaya Ikhtilat”

‘Ikhtilat’ bermaksud pergaulan dalam bahasa Melayu yang berasal dari kata dasar ‘khalata’ iaitu bercampur. Percampuran ini boleh berlaku dalam kalangan manusia, haiwan mahupun benda. Ulama Fiqh mendefinisikan pergaulan sebagai satu keadaan apabila lelaki dan perempuan ajnabi bertemu di suatu tempat dan berlaku interaksi antara mereka. Interaksi yang berlaku mungkin berupa percakapan, pandangan atau isyarat yang boleh difahami. Ikhtilat boleh berlaku di mana-mana tempat samada secara terancang atau tidak. Sungguh menjadi sesuatu yang aneh atau bahkan sangat pelik, jika ada orang yang mampu hidup sendiri kerana memang begitulah fitrah manusia. Persoalannya, sejauh manakah budaya ikhtilat ini memberi kesan negatif dalam kalangan masyarakat pada hari ini dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah budaya ikhtilat ini.

Antara kesan negatif akibat daripada pengamalan budaya ikhtilat ini termasuklah yang pertamanya iaitu lahirnya anak luar nikah akibat daripada berzina, merempit, pengambilan dadah, kes rogol, merompak dan sebagainya. Pergaulan antara lelaki dan perempuan yang tidak terkawal akan mendatangkan banyak kesan buruk kepada masyarakat. Contoh yang jelas dapat dilihat dalam masyarakat barat yang rata-rata mengamalkan pergaulan bebas. Sungguhpun dari aspek kebendaan mereka agak terkehadapan, namun dari aspek kerohanian dan akhlak mereka jauh ketinggalan di belakang. Contohnya, Presiden Amerika Syarikat pernah mengeluarkan kenyataan akhbar pada tahun 1962 yang menyatakan bahawa para pemuda di negaranya telah rosak dan tenggelam dalam kerosakan. Di antara tujuh orang pemuda yang ingin menyertai tentera, terdapat enam orang tidak layak disebabkan mereka leka dalam keseronokan seks.

            Selain itu, kesan negatif lain akibat daripada budaya ikhtilat ini juga ialah tersebarnya penyakit-penyakit yang boleh membawa maut. Terdapat pelbagai penyakit yang wujud disebabkan oleh hubungan bebas di antara lelaki dan wanita, tidak kiralah dari aspek mental mahupun fizikal. Apabila melakukan perhubungan seks tanpa ikatan yang sah dan bertukar- tukar pasangan, nescaya akan terjadinya penyakit yang amat berat untuk ditanggung iaitu penyakit kelamin, HIV dan AIDS. Kanser rahim dan serviks juga akan menyerang kaum wanita di saat mereka telah melakukan hubungan seks sejak di awal usia mereka. Sebelum masalah ini menjadi semakin serius, kita sebagai masyarakat perlu mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membendung masalah pergaulan bebas ini. Perkara ini dapat kita hindari dengan mengehadkan pergaulan kita bersama kaum yang berlainan jantina dengan kita. 


Antara langkah-langkah untuk membendung masalah budaya ikhtilat dalam kalangan masyarakat hari ini ialah peranan ibu bapa. Pertama, ibu bapa mestilah memperhatikan setiap pergerakan anak-anak mereka dan sentiasa mengetahui masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasai masalah tersebut. Kedua, ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukkan moral yang baik. Ketiga, tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih cara bersopan, prinsip akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia, amanah dan sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak.

Pendekatan akademik juga boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti berteraskan akademik di sekolah. Begitu juga dengan perubahan teknik-teknik pengajaran seperti penggunaan komputer, video, bantuan alat pandang dengar dan teknik pengajaran luar kelas. Peruntukan undang-undang di peringkat sekolah boleh menimbulkan rasa takut di kalangan pelajar sekolah, di samping mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah dan pihak ibu bapa dalam pengawasan disiplin. Pihak pentadbir hendaklah mengambil kesempatan dengan merujuk masalah pelajar ini kepada pihak polis. Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian hendaklah diadakan seperti kaunseling di peringkat sekolah. Kaunseling di peringkat sekolah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Wujudnya pendekatan akademik ini telah menjadi langkah mengatasi masalah budaya ikhtilat.

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu.  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah Al Hujurat <49>:13). Daripada ayat al-Quran ini, kita harus bergaul sesama manusia tetapi kita perlu ingat bahawa terdapatnya batasan dalam Islam di dalam pergaulan kita di antara lelaki dan perempuan. Tetapi semuanya bergantung pada niat kita. Izharnya, Islam tidak pernah bertujuan mempersulitkan sesuatu malah mempermudahkan hidup kita. Segala disyariatkan sudah tentu demi kebaikan umat manusia. Pelbagai langkah boleh diambil dan dilaksanakan ibu bapa mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah budaya ikhtilat ini. Walaupun pelbagai langkah yang diambil oleh mana-mana pihak, tanpa kerjasama daripada ibu bapa, nescaya gejala ini sukar diatasi.


Huraian Teknik KWLH Dalam Petikan Teks “Budaya Ikhtilat”
Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran
K – know 
Apa yang sudah                   diketahui
(dalam ruangan ini) Pelajar dikehendaki mencatat perkara/ maklumat yang sudah diketahui berdasarkan tajuk/ perkara yang hendak dibincangkan.
·         ‘Ikhtilat’ bermaksud pergaulan dalam bahasa Melayu yang berasal dari kata dasar ‘khalata’ iaitu bercampur.
W – want
Apa yang hendak diketahui
(dalam ruangan ini)
Pelajar dikehendaki mencatat perkara/ maklumat yang ingin diketahui lebih lanjut berdasarkan tajuk/ perkara yang dibaca. Catatan berdasarkan soalan.
·         Kesan negatif akibat daripada pengamalan budaya ikhtilat ini.
·         Langkah-langkah untuk membendung masalah budaya ikhtilat dalam kalangan masyarakat hari ini.
L – learned
Apa yang telah diperoleh/dipelajari
(dalam ruangan ini)
Pelajar dikehendaki mencatat isi penting yang diperoleh daripada bacaan yang dibaca berdasarkan tajuk/ teks yang diberi. Pelajar menjawab soalan yang dibina sendiri.
Kesan negatif :
·         Lahirnya anak luar nikah akibat daripada berzina, merempit, pengambilan dadah, kes rogol, merompak dan sebagainya.
·         Tersebarnya penyakit-penyakit yang boleh membawa maut.
Langkah mengatasi :
·         Peranan ibu bapa.
·         Pendekatan akademik.
H – how
Apa lagi maklumat tambahan yang diperlukan
(dalam ruangan ini)
Pelajar dikehendaki mencatat bagaimana, bila, dan di mana untuk mendapatkan maklumat yang belum lengkap berdasarkan teks/bahan yang diberi. Pelajar boleh membuat cadangan untuk merujuk sumber lain.
Internet :
·         Kelab Perkim (2009). Apa itu ikhtilat? Diperoleh pada April 18, 2014 daripada http://perkimclubnilai.blogspot.com/2009/08/apa-itu-ikhtilat.html
·         Vikas (2010). Pergaulan bebas. Diperoleh pada April 18, 2014 daripada http://remajapurbabergetah.blogspot.com/2010/08/pergaulan-bebas-pergaulan-bebas-inilah.html
Buku :
·         Syeikh At Tharifiy (2010). Ikhtilat. Mesir : Saudi Arabia



No comments:

Post a Comment